Kesan 'Penalti Dos' dalam Pemeriksaan CT Abdomen Berbilang Fasa: Mengapa Justifikasi Fizik Perubatan Amat Penting?
4 Oktober 2026
Kesan 'Penalti Dos' dalam Pemeriksaan CT Abdomen Berbilang Fasa: Mengapa Justifikasi Fizik Perubatan Amat Penting?
4 Oktober 2026
Ditulis oleh:
Shasindrau Balakrishnan
Pensyarah
Ketua Program (MSc in Healthcare)
School of Integrative Medicine and Life Sciences,
KPJ Healthcare University (KPJU)
Ts. Dr. Ratna Suffhiyanni Omar
Pensyarah
Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Teknologi Tomografi Berkomputer (CT) telah merevolusikan dunia pengimejan perubatan moden dengan menyediakan visual diagnostik berkualiti tinggi yang sangat pantas (Amer et al., 2023). Walau bagaimanapun, memandangkan imbasan CT menyumbang hampir 60% hingga 70% daripada keseluruhan dos radiasi perubatan yang dialami pesakit di peringkat global (Amer et al., 2023), isu pendedahan radiasi mengion ini kekal menjadi perhatian utama komuniti fizik perubatan dan radiologi. Di sebalik manfaat diagnostik besar yang ditawarkan, pendedahan radiasi yang tinggi daripada imbasan CT didapati berkait rapat dengan peningkatan risiko jangka panjang (Rao et al., 2024).
Dalam pengimejan bahagian abdomen (perut), peningkatan pendedahan radiasi ini sebahagian besarnya didorong oleh satu amalan klinikal yang dikenali sebagai imbasan berbilang fasa (multi-phase CT) (Smith-Bindman et al., 2024). Amalan pengimbasan berbilang fasa ini sering kali mengenakan apa yang dikenali sebagai "Penalti Dos" kepada pesakit iaitu pengumpulan dos radiasi kumulatif yang sangat besar tanpa memberikan faedah diagnostik tambahan yang setimpal (Smith-Bindman et al., 2024).
Apakah itu ‘Imbasan Berbilang Fasa’ dan ‘Penalti Dos’?
Secara amnya, pemeriksaan CT abdomen rutin idealnya hanya memerlukan satu fasa pengimejan tunggal (single-phase), contohnya fasa venosa portal selepas kemasukan ubat kontras (Lange et al., 2021). Walau bagaimanapun, bagi menilai patologi hati atau renal yang lebih kompleks, doktor pakar kadangkala terpaksa menetapkan protokol berbilang fasa (Picone et al., 2025). Pemeriksaan ini dijalankan dengan mengimbas pesakit berulang kali merentasi fasa yang berbeza, termasuk fasa tanpa kontras (pre-contrast), fasa arteri, fasa portal, dan fasa lewat (delayed/equilibrium) (Martens et al., 2021). Perbezaan antara pemeriksaan CT abdomen fasa tunggal dan berbilang fasa serta sumbangan setiap fasa terhadap DLP kumulatif ditunjukkan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Hubungan antara bilangan fasa pemerolehan dan DLP kumulatif dalam pemeriksaan CT abdomen. Sumbangan dos setiap fasa boleh berbeza mengikut CTDIvol, panjang imbasan dan parameter teknikal.
Hakikatnya, setiap fasa imbasan tambahan yang dijalankan bermakna pemancar sinar-X akan mengelilingi tubuh pesakit sekali lagi (Mekonin & Deressu, 2022). Akibatnya, pesakit akan menerima dos radiasi tambahan bagi setiap pusingan tersebut (Picone et al., 2025). Seseorang pesakit yang menjalani pemeriksaan onkologi atau rujukan berbilang fasa boleh menerima dos kumulatif yang sangat tinggi (Martin et al., 2021). Oleh itu, penting untuk mengehadkan pengulangan imbasan ini bagi memastikan pendedahan radiasi dikekalkan pada tahap serendah yang munasabah (As Low As Reasonably Achievable atau prinsip ALARA) (Gould et al., 2021; Picone et al., 2025).
Bukti Saintifik: Pemacu Utama Peningkatan Dos
Satu kajian retrospektif berskala besar yang menganalisis hampir 750,000 imbasan CT abdomen rutin di peringkat global mendapati terdapat variasi pendedahan dos yang sangat ketara antara hospital (Smith-Bindman et al., 2024). Mengejutkan sekali, variasi dos ini didapati bukan didorong oleh faktor saiz fizikal atau diameter pesakit, melainkan oleh cara atau amalan pengimbasan yang diamalkan oleh institusi tersebut (Smith-Bindman et al., 2024). Kajian ini membongkar bahawa jumlah fasa imbasan merupakan faktor pemacu paling kuat yang menyebabkan variasi ekstrem ini (Smith-Bindman et al., 2024). Protokol imbasan dengan dos terendah hanya menggunakan satu fasa tunggal, manakala protokol dalam kelompok dos tertinggi (desil teratas) menggunakan purata 2.6 fasa imbasan (Smith-Bindman et al., 2024). Hal ini membuktikan bahawa penggunaan fasa imbasan yang tidak dijustifikasikan dengan ketat boleh menyebabkan penalti radiasi yang amat tinggi kepada pesakit (Smith-Bindman et al., 2024).
Pengoptimuman Dos: Kualiti imej dan Keselamatan Pesakit
Adakah pendedahan dos radiasi ini boleh dikurangkan tanpa menjejaskan nilai diagnostik imej? Jawapannya, ya. Melalui pelarasan parameter teknikal dan kerjasama erat dengan ahli fizik perubatan, dos pesakit boleh dikurangkan dengan ketara (Picone et al., 2025).
Sebagai contoh, satu kes pengoptimuman protokol pada seorang pesakit wanita berusia 56 tahun yang menjalani imbasan CT hati tiga fasa menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan (Picone et al., 2025). Melalui program pengoptimuman tersebut, tetapan arus tiub (tube current modulation atau TCM) dikurangkan terutamanya bagi fasa lewat (equilibrium phase) iaitu fasa di mana hingar (noise) imej yang sedikit tinggi masih boleh diterima secara klinikal (Picone et al., 2025). Hasilnya, jumlah pendedahan keseluruhan pesakit (diukur melalui Dose-Length Product atau DLP) berjaya diturunkan sebanyak 44%, iaitu daripada 1235 mGy·cm kepada hanya 692 mGy·cm, tanpa menjejaskan keupayaan diagnostik imej tersebut (Picone et al., 2025).
Peranan Fizik Perubatan: DRLs dan SSDE
Dalam merealisasikan perlindungan radiasi pesakit, terutamanya di sektor hospital swasta di Malaysia, dua pendekatan fizik perubatan utama amat kritikal untuk dilaksanakan:
Penerapan Tahap Rujukan Diagnostik (DRLs): DRLs bertindak sebagai metrik penyiasatan (investigational levels) untuk mengenal pasti sama ada jumlah radiasi yang digunakan bagi sesuatu prosedur rutin adalah luar biasa tinggi atau rendah (International Commission on Radiological Protection [ICRP], 2017). Bagi pengimejan CT abdomen, DRLs harus ditetapkan berdasarkan indikasi klinikal khusus (clinical indication-based DRLs) kerana keperluan dos diagnostik bagi pengesanan batu karang berbeza daripada pencirian tumor (ICRP, 2017). Metrik DLP kumulatif mestilah direkodkan untuk memantau pendedahan merentasi keseluruhan fasa imbasan (ICRP, 2017; Picone et al., 2025).
Pemodelan Berasaskan Saiz Tubuh (SSDE): Anggaran dos tradisional seperti Computed Tomography Dose Index Volume (CTDIvol) mempunyai had besar kerana ia hanya mencerminkan output mesin berdasarkan phantom plastik standard (16-cm atau 32-cm), bukannya dos sebenar yang diserap tubuh pesakit (Sabiniewicz-Ziajka et al., 2024). Ahli fizik perubatan kini menggunakan metrik Size-Specific Dose Estimate (SSDE) dengan melaraskan nilai CTDIvol berdasarkan dimensi fizikal pesakit (seperti effective diameter Deff atau water-equivalent diameter Dw) untuk memberikan anggaran dos yang jauh lebih tepat dan diperibadikan (Amer et al., 2023; Sabiniewicz-Ziajka et al., 2024). Hubungan antara CTDIvol, DLP kumulatif, saiz pesakit, SSDE dan DRL dalam pengoptimuman protokol CT abdomen diringkaskan dalam Rajah 2.
Rajah 2: Kerangka pengoptimuman dos CT abdomen menggunakan CTDIvol, DLP kumulatif, SSDE dan DRL berasaskan indikasi sambil mengekalkan kualiti imej yang mencukupi untuk tujuan klinikal.
Kesimpulan
Walaupun imbasan CT abdomen berbilang fasa memberikan nilai diagnostik yang tinggi dalam menilai patologi yang kompleks, penggunaannya tanpa justifikasi klinikal yang jelas dan pengoptimuman parameter fizikal yang teliti boleh menyebabkan pendedahan radiasi yang tidak diperlukan kepada pesakit. Melalui pengoptimuman protokol yang sistematik, penggunaan aras rujukan diagnostik (DRL) yang disesuaikan mengikut indikasi klinikal, serta penerapan metrik dos berasaskan saiz pesakit seperti Size-Specific Dose Estimate (SSDE), keselamatan pesakit dapat dipertingkatkan tanpa menjejaskan kualiti imej dan ketepatan diagnostik. Pendekatan ini penting dalam memperkukuh amalan ALARA serta menyokong kecemerlangan dan keselamatan perkhidmatan pengimejan perubatan di Malaysia.
Rujukan:
Amer, A., Ahmed, W., Hussein, A., Mehta, A., Khalif, A., & Abdullah, M. (2023). Estimation of radiation dose in CT chest and abdomen examinations using size-specific dose estimates. Open Access Library Journal, 10(3), 1-13. https://doi.org/10.4236/oalib.1109843
Gould, S., Iball, G. R., & Johnston, A. (2021). Translating low-dose CT protocols between scanner models utilizing different automatic exposure control methods and reconstruction algorithms. EJNMMI Physics, 8(1), 1-15. https://doi.org/10.1186/s40658-021-00373-8
International Commission on Radiological Protection [ICRP]. (2017). Diagnostic reference levels in medical imaging. ICRP Publication 135. Annals of the ICRP, 46(1), 1–144. https://doi.org/10.1177/0146645317717207
Lange, I., Jørgensen, T., Dupont, E., & Micheelsen, M. A. (2021). Intraindividual variation of dose parameters in CT imaging for staging. PLOS ONE, 16(4), e0250490. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0250490
Martin, C. J., Abuhaimed, A., & Lee, C. (2021). Dose quantities for measurement and comparison of doses to individual patients in computed tomography (CT). Journal of Radiological Protection, 41(3), 792-808. https://doi.org/10.1088/1361-6498/abf4c2
Martens, B., Jost, G., Mihl, C., Nijssen, E. C., Wildberger, J. E., Schmidt, B., Flohr, T., & Pietsch, H. (2021). Feasibility of optimizing radiation or contrast media dose in contrast-enhanced abdominal computed tomography. Investigative Radiology, 56(1), 27-35. https://doi.org/10.1097/RLI.0000000000000712
Mekonin, T. S., & Deressu, T. (2022). Evaluation of radiation doses to patients undergoing computed tomography examinations in major hospitals. Annals of the ICRP, 51(2), 241-248. https://doi.org/10.1177/01466453221115632
Picone, C., Porto, A., Fusco, R., Granata, C., Brunese, M. C., Granata, V., Ottaiano, A., Barretta, M., Caranci, F., Pecori, B., Sorgente, E., Salerno, S., Mormile, R., Pinto, F., Pinto, A., Magistrelli, A., & Petrillo, A. (2025). Optimization and image quality in CT studies: Application of DRLs based on clinical indication. Discover Applied Sciences, 7(6), 523. https://doi.org/10.1007/s42452-025-07125-8
Rao, S., Dev, P., & Shasidharan, K. (2024). Assessment of radiation doses and risk optimization in computed tomography imaging. Diagnostics, 14(9), 921. https://doi.org/10.3390/diagnostics14090921
Sabiniewicz-Ziajka, D., Szarmach, A., Grzywińska, M., Gać, P., & Piskunowicz, M. (2024). Redefining radiation metrics: Evaluating actual doses in computed tomography scans. Biomedicines, 12(3), 600. https://doi.org/10.3390/biomedicines12030600
Smith-Bindman, R., Kang, T., Chu, P. W., Wang, Y., Stewart, C., Das, M., Duong, P. A., Cervantes, L., Lamba, R., Lee, R. K., MacLeod, F., Kasraie, N., Neill, R., Pike, P., Roehm, J., Schindera, S., Chung, R., Delman, B. N., Jeukens, C. R. L. P. N., … Szczykutowicz, T. P. (2024). Large variation in radiation dose for routine abdomen CT: Reasons for excess and easy tips for reduction. European Radiology, 34(4), 2394–2404. https://doi.org/10.1007/s00330-023-10076-6