Penggunaan Aplikasi Telegram dalam Internet of Things (IoT)
23 Januari 2026
Penggunaan Aplikasi Telegram dalam Internet of Things (IoT)
23 Januari 2026
Ditulis oleh:
Pengenalan
Sebut saja Telegram, semua orang tahu, ia adalah satu aplikasi yang menyediakan perkhidmatan media sosial dan pesanan segera merentas platform berasaskan awan (cloud).
Sejarah Telegram bermula pada tahun 1830-an apabila Samuel Morse telah mencipta sistem telegraf elektrik bertujuan untuk memudahkan manusia menghantar mesej jarak jauh yang pantas melalui isyarat berkod. Ia seterusnya berkembang dan mengalami revolusi dari masa ke masa sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi semasa. Pada tahun 2013, ia menjadi aplikasi pemesejan Telegram moden yang diasaskan oleh adik-beradik dari Rusia iaitu Pavel Durov & Nikolai Durov yang memberi tumpuan kepada komunikasi yang selamat, berasaskan awan (cloud) dan pantas. Ia dilancarkan untuk iOS pada 14 Ogos 2013 dan Android pada 20 Oktober 2013. Ia membolehkan pengguna bertukar mesej, berkongsi media dan fail, mengadakan panggilan suara atau video peribadi dan berkumpulan, serta strim langsung awam.
Penggunaan Telegram dalam Projek Elektronik Berkaitan Internet of Things (IoT)
Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Telegram sebenarnya mempunyai peranan lebih daripada itu iaitu satu platform yang digunakan secara meluas untuk memaparkan data dalam kebanyakan projek yang berkaitan dengan Internet of Things (IoT). Bermula pada tahun 2020-an, ia mula digunakan secara meluas dalam pendidikan, perniagaan, dalam IoT dan automasi serta dalam komuniti yang besar (channel dan group).
Ia sangat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan IoT terutamanya pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sesiapa sahaja. Antara kelebihan Telegram ialah mudah (hanya guna telefon, komputer atau laptop sahaja), mempunyai cloud (tidak perlu server sendiri), selamat, komunikasi dua hala (antara mikro-pengawal dan Telegram) dan yang paling penting, ia adalah percuma! Ada antara pelajar institusi pengajian tinggi yang mengaplikasikan penggunaan aplikasi Telegram ini dalam projek-projek tahun akhir mereka. Sebagai contoh, model sistem keselamatan, model rumah pintar, model sistem akuaponik pintar, pemantauan suhu dan kelembapan dan sebagainya.
Telegram juga boleh digunakan sebagai sistem notifikasi (alert), kawalan antara muka (on/off peranti) dan pemantauan data sensor. Sebagai contoh, untuk sistem notifikasi antara contoh-contoh paparan ialah “pergerakan dikesan”, “suhu terlalu tinggi” dan “ammonia tinggi”. Manakala contoh paparan untuk kawalan antara muka ialah “pam air On” dan “lampu dihidupkan”. Untuk contoh paparan pemantauan data sensor pula ialah “suhu 28℃” dan “kelembapan 65%”. Semuanya akan terpapar dalam aplikasi Telegram. Mudahkan?
Konsep asas Telegram menghantar data dalam IoT secara umumnya adalah mudah dan ringkas dan ditunjukkan pada Rajah 1:
Rajah 1: Konsep asas Telegram menghantar data dalam IoT
Daripada Rajah 1, antara contoh-contoh sensor yang popular dalam IoT ialah sensor DHT11 dan DHT22 (untuk memantau suhu dan kelembapan), sensor pergerakan PIR (untuk mengesan sebarang pergerakan), sensor ultrasonik (untuk mengukur jarak objek), sensor paras air (untuk mengesan paras air rendah / tinggi), sensor kelembapan tanah (untuk mengukur kelembapan tanah) dan banyak lagi. Manakala contoh-contoh mikro-pengawal ialah ESP32, Arduino Nano, ESP8266 dan sebagainya.
Contoh-contoh Projek Ringkas Menggunakan Telegram
Berikut ialah empat contoh projek ringkas yang mudah untuk paparan data secara khusus menggunakan Telegram. Kesemua projek ringkas ini menggunakan ESP32 sebagai mikro-pengawal.
Contoh projek ringkas melibatkan pengesanan pergerakan manusia (sensor PIR) dan pengesanan suhu dan kelembapan (sensor DHT11) di dalam sebuah bilik ditunjukkan pada Rajah 2 ini.
sensor PIR mengesan pergerakan ➜ ESP32 hantar mesej ke Telegram
sensor DHT11 baca suhu dan kelembapan ➜ ESP32 hantar data ke Telegram.
Contoh projek ringkas sistem asas keselamatan iaitu apabila pergerakan manusia dikesan, penggera (alarm) akan diaktifkan dengan membunyikan buzzer dan LED menyala ditunjukkan pada Rajah 3.
sensor PIR mengesan pergerakan ➜ penggera diaktifkan ➜ ESP32 hantar mesej ke Telegram.
Projek ringkas menghidupkan dan mematikan geganti (relay) dan LED secara serentak menggunakan alamat Internet Protocol (IP address) ditunjukkan pada Rajah 4.
alamat IP ➜ On Off Relay dan LED ➜ ESP32 hantar mesej ke Telegram.
Projek ringkas mengukur jarak objek dengan menggunakan sensor ultrasonic ditunjukkan pada Rajah 5.
sensor ultrasonik mengukur jarak objek ➜ ESP32 hantar mesej ke Telegram.
Rajah 2: Contoh projek ringkas; pengesanan pergerakan manusia dan pengesanan suhu dan kelembapan
Rajah 3: Contoh projek ringkas sistem asas keselamatan
Rajah 4: Projek ringkas menghidupkan dan mematikan geganti dan LED secara serentak
Rajah 5: Projek ringkas mengukur jarak objek dengan menggunakan sensor ultrasonic
Sebenarnya ada banyak lagi projek-projek elektronik berasaskan IoT yang boleh menggunakan Telegram sebagai platform paparan data. Contoh-contoh di atas hanyalah sebahagian sahaja, sekadar untuk memberi pendedahan awal dan membuka minda kepada mereka yang tidak pernah tahu akan “kebolehan” lain yang ada pada Telegram.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, Telegram sangat sesuai kerana mudah, ringkas dan tidak perlu penetapan (setting) yang rumit. Di samping itu, ia juga menyediakan medium notifikasi masa nyata, membolehkan pengguna memantau peranti IoT dari jauh, bertindak sebagai paparan data dan bertindak sebagai alternatif server dan aplikasi.