FLOODCOM: Aplikasi Teknologi Nuklear dalam Pengurusan Bencana Banjir di Malaysia
4 Mei 2026
FLOODCOM: Aplikasi Teknologi Nuklear dalam Pengurusan Bencana Banjir di Malaysia
4 Mei 2026
Ditulis oleh:
En. Khairil Nor Kamal bin Umar
Pegawai Penyelidik
Kumpulan Pemprosesan Polimer & Pembangunan Prototaip,
Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran,
Agensi Nuklear Malaysia
Dr. Mohammed Iqbal bin Shueb
Pegawai Penyelidik Kanan
Kumpulan Pemprosesan Polimer & Pembangunan Prototaip,
Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran,
Agensi Nuklear Malaysia
Mohd Faizal Abd Rahman
Pegawai Penyelidik Kanan
Kumpulan Pemprosesan Polimer & Pembangunan Prototaip,
Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran,
Agensi Nuklear Malaysia
Kapt. (PA) Muszaidi bin Musa
Ketua Bahagian
Bahagian Pengurusan Sekretariat,
Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena banjir tahunan akibat Monsun Timur Laut semakin memberi kesan besar kepada komuniti di Pantai Timur Malaysia. Bencana ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah menjejaskan sistem komunikasi, logistik, dan operasi menyelamat. Di kawasan pedalaman seperti Ulu Tembeling, Pahang, cabaran ini menjadi lebih kompleks apabila laluan darat terputus dan akses hanya bergantung kepada pengangkutan sungai (Rajah 1). Dalam situasi ini, keperluan kepada sistem pengurusan bencana yang lebih responsif, fleksibel dan berdaya tahan menjadi semakin kritikal.
Seiring dengan cabaran tersebut, Agensi Nuklear Malaysia melalui kepakaran dalam teknologi bahan dan pemprosesan sinaran telah membangunkan satu inovasi unik dikenali sebagai FLOODCOM (Floating Flood Disaster Command Centre). Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Agensi Nuklear Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah pembiayaan dana Inovasi Sosial (MyIS Komuniti). FLOODCOM dibangunkan sebagai pusat gerakan bencana terapung yang mampu beroperasi secara efektif dalam keadaan banjir, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Kampung Bantal, Jerantut, Pahang.
Rajah 1: Lokasi Kampung Bantal di Ulu Tembeling, Pahang yang sering terjejas desebabkan banjir dan mempunyai akses terhad semasa bencana
Keunikan FLOODCOM terletak pada penggunaan teknologi bahan maju berasaskan pelantar biokomposit (biocomposite decking) dan modul apungan RX-HDPE (radiation crosslinked high-density polyethylene) (Rajah 2) Teknologi ini menggunakan kaedah taut-silang sinaran (radiation crosslinking) (Rajah 3) yang merupakan salah satu aplikasi utama teknologi nuklear dalam kejuruteraan bahan. Proses ini meningkatkan kekuatan mekanikal, ketahanan haba, serta rintangan terhadap degradasi persekitaran, menjadikan struktur lebih kukuh dan stabil walaupun dalam keadaan arus air yang kuat.
Rajah 2: Reka bentuk struktur FLOODCOM yang terdiri daripada modul apungan RX-HDPE dan pelantar biokomposit
Rajah 3: Proses taut-silang sinaran (radiation crosslinking) yang meningkatkan sifat mekanikal dan ketahanan bahan polimer RX-HDPE
Dari sudut fungsi, FLOODCOM memainkan pelbagai peranan penting semasa bencana banjir (Rajah 4). Ia berfungsi sebagai pusat operasi utama bagi pasukan APM dalam menyelaras aktiviti penyelamatan, pemindahan mangsa, serta pengurusan logistik. Selain itu, struktur ini juga bertindak sebagai pusat pengagihan bantuan kemanusiaan seperti bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. FLOODCOM turut dilengkapi dengan sistem komunikasi alternatif seperti Very High Frequency (VHF) dan High Frequency (HF), bagi memastikan operasi tetap berjalan walaupun sistem komunikasi konvensional gagal.
Dalam keadaan bukan bencana, FLOODCOM turut memberikan nilai tambah kepada komuniti setempat. Struktur ini boleh digunakan sebagai menara pemantauan paras air, jeti transit, lokasi pelancongan, serta platform ekonomi seperti akuakultur. Hal ini menunjukkan bahawa teknologi ini bukan sahaja reaktif terhadap bencana, malah juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi.
Rajah 4: Pelbagai fungsi FLOODCOM dalam situasi bukan bencana termasuk pemantauan, pelancongan dan aktiviti ekonomi komuniti
Pembangunan FLOODCOM merupakan hasil penyelidikan berterusan sejak tahun 2009 dalam bidang struktur terapung berasaskan pelantar biokomposit oleh Agensi Nuklear Malaysia (Rajah 5). Teknologi ini telah diaplikasikan dalam projek seperti jeti terapung di Semporna dan stesen terapung di Kota Belud, membuktikan kebolehgunaan dan penerimaan masyarakat. Selari dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, pembangunan FLOODCOM mencerminkan penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk manfaat masyarakat. Pendekatan ini juga menyokong agenda global dalam meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Rajah 5: Infografik sistem FLOODCOM yang mengintegrasikan teknologi nuklear, struktur terapung dan impak komuniti dalam menyokong pengurusan bencana banjir serta pembangunan mampan
Melangkah ke hadapan, inovasi seperti FLOODCOM berpotensi diperluaskan ke kawasan berisiko tinggi lain. Ia bukan sekadar inovasi kejuruteraan, malah simbol keupayaan teknologi tempatan dalam menyelesaikan cabaran sebenar masyarakat. Kesimpulannya, FLOODCOM membuktikan bahawa teknologi nuklear boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan awam dan kesejahteraan rakyat. Dalam menghadapi bencana banjir yang semakin kompleks, pendekatan berasaskan teknologi seperti ini menjadi satu keperluan strategik bagi masa depan negara.