Banjir: Mampukah Manusia Uruskan Fenomena Alam?
16 Januari 2025
Banjir: Mampukah Manusia Uruskan Fenomena Alam?
16 Januari 2025
Ditulis oleh:
Prof Madya. Dr. Jamilah Mohd Salim @ Halim
Pensyarah
Institute of Tropical Biodiversity & Sustainable Development (Bio-D Tropika),
Universiti Malaysia Terengganu
Gs. Dr. Sheriza Mohd Razali
Pegawai Penyelidik
Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP),
Universiti Putra Malaysia
Apa itu banjir?
Banjir atau dikenali juga sebagai “bah” yang berlaku pada musim tengkujuh merupakan fenomena semulajadi yang disebabkan oleh limpahan air berlebihan dari kawasan tadahan seperti sungai ataupun akibat daripada curahan air hujan berlebihan yang tidak dapat ditampung oleh tanah bencah seperti tasik dan badan air. Kejadian banjir diburukkan lagi oleh perubahan guna tanah dan pembangunan pesat muka bumi yang mengurangkan secara mendadak kawasan tanah bencah berbanding abad yang lalu. Seperti yang kita ketahui tanah bencah mempunyai peranan besar untuk menampung air yang berlebihan dan mengawalatur hidrologi setempat. Ketika ini dilaporkan dunia telah kehilangan kira-kira 87% tanah bencah berbanding 300 tahun dahulu (IISD, 2024). Rajah 1.0 menunjukkan salah satu tanah bencah yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Rajah 1.0: Paya Gelam di Setiu, Terengganu merupakan salah satu tanah bencah air tawar yang berperanan penting untuk menampung limpahan air berlebihan ketika musim tengkujuh.
Sumber imej: Dome Nikong
Malaysia sebagai salah satu negara yang terletak di zon iklim tropika sentiasa menerima curahan hujan sepanjang tahun. Namun begitu bagi negeri-negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, curahan hujan yang berlebihan berlaku pada musim tengkujuh yang bermula daripada bulan November hingga Mac. Semasa musim tengkujuh luruan angin monsun dari arah timur laut iaitu angin sejuk dari China dan angin timuran yang lembap dari Lautan Pasifik akan menghasilkan curahan hujan lebat yang melebihi kadar biasa dan menyebabkan banjir.
Di antara negeri-negeri utama yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, barat Sarawak dan pantai timur Sabah. Mutakhir ini corak taburan hujan menjadi tidak menentu dan di luar jangkaan. Keadaan ini berkaitkan rapat dengan kesan perubahan iklim yang dialami oleh dunia antaranya berpunca daripada peningkatan aktiviti manusia serta perubahan guna tanah secara intensif yang boleh mengubah kejadian fenomena alam semulajadi seperti banjir besar dan banjir kilat yang luar biasa berpunca daripada curahan isipadu air hujan yang melampau dalam masa yang singkat. Terdapat tempat-tempat yang dahulunya selamat daripada dinaiki air, kini boleh dinaiki air lanjutan daripada kesan perubahan iklim dunia dan diburukkan lagi oleh kegagalan serta kemelesetan perancangan perbandaran secara rapi dan lestari. Rajah 2.0 menunjukkan keadaan bajir yang dialami oleh negeri Terengganu pada tahun 2008 dan tahun 2014.
Rajah 2.0: Keadaan banjir di hadapan kampus Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus pada tahun 2008 (kiri) dan di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu pada tahun 2014 (kanan).
Sumber imej: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pengarang
Kesan fenomena banjir
Fenomena banjir pastinya memberikan kesan yang ketara kepada sosio ekonomi penduduk. Di antaranya menyebabkan kehilangan mata pencarian, kemusnahan harta benda dan kehilangan tempat tinggal, malah seringkali menjurus kepada kehilangan nyawa. Misalnya, kejadian terkini pada 1 Disember 2024 di Daerah Machang, Kelantan yang melibatkan enam (6) orang kehilangan nyawa dan menjadi mangsa banjir, termasuklah dua lelaki warga emas yang lemas ketika memantau haiwan ternakan mereka (Astro Awani, 2024). Selain itu, banjir juga boleh menyebabkan kerosakan kepada bangunan serta mengurangkan daya kestabilannya apabila ditenggelami oleh air dalam tempoh yang panjang.
Persoalannya mampukah manusia menangani fenomena banjir ini yang pastinya akan berlaku setiap tahun? Mampukah teknologi digunakan untuk menghalang banjir? Atau bolehkah teknologi setidak-tidaknya membantu manusia membuat persediaan awal untuk menghadapi banjir serta mengurangkan kesan bencana banjir?
Teknologi membantu persediaan banjir
Menyedari kegelisahan masyarakat umum berkaitan fenomena banjir ini, artikel ini membincangkan potensi penggunaan teknologi terkini sebagai sandaran untuk membantu pemantauan risiko banjir. Teknologi pertama adalah Sistem Maklumat Geografi atau Geographic Information System (GIS) dan teknologi penderiaan jauh atau Remote Sensing yang telah pun giat digunapakai oleh METMalaysia untuk membangunkan model ramalan hujan. Satu lagi aplikasi yang turut dibangunkan melalui pencerapan maklumat hujan dengan menggunakan satelit kaji cuaca yang terdapat di angkasa lepas. Aplikasi yang dikenali sebagai Global Satellite Mapping of Precipitation (GSMaP) ini telah dibangunkan oleh pasukan pengkaji khas Pusat Pengkaji Angkasan Negara Jepun atau JAXA digunakan untuk mendapatkan maklumat hujan (Japan Aerospace Exploration Agency, 2014).
Ketidaktentuan iklim dan cuaca semasa telah mendorong satu sistem berdaya maju berasaskan kepada aplikasi sistem Internet of Things (IoT) pula diperkenalkan dan penggunaannya telah mula diperakui berkesan di dalam menangani fenomena alam seperti banjir. Sistem IoT ini mampu memberikan maklumat segera berkaitan data parameter cuaca yang dibaca oleh penderia yang dipasang pada stesen automatik kajicuaca di sesbuah pusat pemantauan.
Rajah 3.0: Sistem IoT yang lengkap diguna pakai untuk pemantauan banjir yang sangat efektif.
Penderia juga boleh dipasang di kawasan yang sesuai yang berisiko banjir seperti di tebing sungai atau empangan. Penderia banjir juga sudah mula diletakkan di kawasan bercerun untuk memantau dan mengesan bermulanya fenomena kepala air di kawasan cerun air terjun. Di antara kebaikan dan kelebihan teknologi yang disebutkan di atas ialah kaedah ini boleh mengurangkan keperluan untuk membuat pemantauan secara kerap terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko dan di kawasan yang luas yang mungkin tidak dapat diakses dengan mudah dan cepat.
Penutup
Manusia tidak mampu untuk menghalang kejadian fenomena alam semulajadi seperti banjir daripada berlaku tetapi mereka boleh mengurus dan membangunkan bumi secara terancang dan lestari untuk mengurang risiko fenomena banjir atau bencana alam yang lain. Kecanggihan dan perkembangan pelbagai teknologi terutamanya teknologi maklumat dan komunikasi berkaitan pengurusan bencana alam perlu dimanafaatkan sepenuhnya untuk membantu kita membuat persediaan, memantau dan mengurangkan impak banjir.
Rujukan
Astro Awani. (2024, December 1). Banjir: Korban meningkat kepada enam, jumlah mangsa di seluruh negara berkurang. 6.
Japan Aerospace Exploration Agency. (2014, September). Global Satellite Mapping of Precipitation (GSMaP). http://sharaku.eorc.jaxa.jp/GSMaP/
IISD (International Institute for Sustainable Development). (2024, November 28). https://nbi.iisd.org/wetlands/