Biodata Editor Majalah SciTech:
Biodata Editor Majalah SciTech:
ChM. Dr. Anith Liyana Mohd Sis
Anith Liyana ialah pengasas dan perunding penyelidikan di syarikat perundingan saintifik, Paradigm Scitech Solution. Beliau merupakan graduan PhD dalam bidang Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta memiliki Ijazah Sarjana (MSc.) dalam Kimia Polimer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc.) dalam Kimia Industri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sintesis polimer dan adunan polimer, khususnya untuk aplikasi dalam sains bahan dan teknologi lestari. Kerjayanya bermula sebagai perunding penyelidikan di sebuah syarikat biojisim, beliau kemudiannya meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut secara berterusan. Beliau juga merupakan pengasas dan pengurus program berkaitan pendidikan berteraskan STEAM berjenama SciTech for Kids.
Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Darfizzi Derawi
Darfizzi Derawi merupakan lulusan Doktor Falsafah (Kimia) ketika berumur 25 tahun dan Sarjanamuda (Kep.) dalam Oleokimia di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah dilantik sebagai Felo Penyelidik Pasca-Doktoral dalam bidang katalisis biotenaga di School of Chemical Engineering, University of Birmingham. Pada masa sama, beliau menjalankan sangkutan penyelidikan di European Bioenergy Research Institute (EBRI), Aston University. Beliau telah dianugerahkan Newton Advanced Fellowship oleh The Royal Society, United Kingdom pada tahun 2016. Kerjaya dalam bidang akademik bermula di INTEC Education College, UiTM pada Julai 2011. Setelah menamatkan pengajian Doktor Falsafah, beliau ditawarkan untuk berkhidmat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Setahun kemudian, beliau kembali ke UKM untuk berkhidmat sehingga kini. Beliau aktif bekerjasama dengan pemain industri kimia dan minyak sawit untuk memberi khidmat nasihat dan perundingan. Di peringkat Kebangsaan, beliau dilantik sebagai Ahli Tetap JK Teknikal 'Safety In Laboratories' oleh Jabatan Standard Malaysia dan Penasihat Program Teknologi Kimia (Lemak dan Minyak), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail. Beliau juga merupakan Penasihat Utama UKM Unipeq Sdn. Bhd. dan Perunding di UKM Pakarunding.
Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon
Mohd Hafiz Mohd Saadon menerima ijazah BSc dalam Fizik Gunaan dan MSc dalam Astrofizik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 2009 dan 2014, dan PhD beliau pula dari University of New South Wales, Sydney, Australia pada tahun 2021. Beliau kini merupakan Pensyarah Kanan bagi Program Astronomi Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan juga dilantik sebagai Pengurus bagi Online Journal of Research in Islamic Studies (RIS). Beliau pernah aktif menyertai ekspedisi-ekspedisi menjejak gerhana matahari di Indonesia (2009), China (2009), Maldives (2010) dan Australia (2012). Di samping itu, beliau pernah terlibat dengan pendedahan aktiviti pencerapan langit kepada orang awam, antaranya melalui program Jom Teropong anjuran Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor pada 2011-2013. Beliau kini merupakan ahli antarabangsa bagi Astronomical Society of Australia dari tahun 2018 dan terlibat sama dalam Global Malaysian Astronomers Convention di peringkat tempatan. Penyelidikannya lebih tertumpu kepada arkeologi galaksi dengan penumpuan kepada spektroskopi astronomi, pembentukan dan evolusi bintang, serta pemerhatian terhadap halo najam dan kelompok globul. Di samping itu, beliau turut terlibat sama dalam penyelidikan kenampakan anak bulan di Malaysia, pengaruh perubahan iklim dari aspek astronomi, pemuliharaan warisan Jawi dalam karya Falak dan STEM.
Dr. Noriah Abdul Rahman
Noriah Abdul Rahman ialah Perunding Tesis ke Buku dan Pengurus Operasi di Kalem NR. Beliau merupakan graduan PhD dalam bidang Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di mana beliau juga memperoleh ijazah Sarjana (MSc.) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc.) dalam bidang yang sama. Beliau memiliki kepakaran dalam sintesis polimer bagi aplikasi dalam sel solar terpeka pewarna. Beliau turut pernah berkhidmat sebagai pensyarah kimia di Kolej Permata Pintar Negara, UKM. Di samping itu, beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, khususnya sebagai fasilitator program STEM.