Kearifan Tempatan Melayu: Peranan Pewarna Semula Jadi dalam Pemeliharaan Alam Sekitar
16 Januari 2025
Kearifan Tempatan Melayu: Peranan Pewarna Semula Jadi dalam Pemeliharaan Alam Sekitar
16 Januari 2025
Ditulis oleh:
Dr. Razanah Ramya @ Abd Rahim
Felo penyelidik
Institut Alam dan Tamadun Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Kajian oleh para sarjana menunjukkan bahawa Dunia Melayu (yang merangkumi Malaysia, Indonesia, dan Filipina) mempunyai sejarah yang kaya dalam bidang etnosains dan etnoteknologi dengan sumbangan asal kepada sejarah awal teknologi. Etnosains pada dasarnya adalah lintas-disiplin, berdasarkan peningkatan kerjasama antara sains sosial dan kemanusiaan (antropologi, sosiologi, sejarah sains, psikologi, falsafah) dengan sains semulajadi seperti biologi, ekologi, agronomi, klimatologi, astronomi, atau perubatan. Etnosains merangkumi pelbagai cara dunia dilihat dan dikategorikan dalam budaya yang berbeza. Aspek kelestarian yang digabungkan antara penemuan tradisional dan moden mempunyai impak penting terhadap relevansi etnosains dalam mengekalkan kepercayaan dan kewujudan sosial mereka.
Warna telah wujud selama berdekad-dekad, malah sejak zaman prasejarah. Warna memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu dan sering ditemui dalam semua bentuk artifak. Tambahan pula, keunikan palet warna juga berkait rapat tentang makna, nilai, cara hidup, ekonomi dan persekitaran setempat. Pewarna semula jadi kebanyakannya digunakan untuk mewarnakan bahan yang diperoleh daripada sumber semula jadi yang diintegrasikan ke dalam kehidupan harian masyarakat Melayu seperti gastronomi, pakaian, upacara ritual, kraftangan dan perubatan. Hal ini kerana warna dapat menimbulkan pemandangan yang menyenangkan disamping membangkitkan emosi dan idea seseorang.
Warna simbolik kepada taraf dan kedudukan orang Melayu
Pengetahuan tradisional mengenai tumbuhan yang digunakan untuk pencelupan tekstil semakin hilang akibat pemodenan, termasuk gaya hidup baharu, urbanisasi, dan pengenalan warna sintetik. Walau bagaimanapun, pencelupan tekstil menggunakan tumbuhan tempatan kini mengalami kebangkitan semula yang berkait dengan ekopelancongan dan minat global terhadap produk semula jadi. Sebagai contoh, warna merupakan faktor penting dalam pembuatan tekstil kerana ia mempunyai makna dan kegunaan tersendiri dalam budaya Melayu. Warna kuning digunakan oleh Raja-raja sebagai simbol kedaulatan; warna merah digunakan oleh kebanyakan rakyat sebagai simbol kewarganegaraan; warna putih dan hijau digunakan oleh para ulama sebagai simbol agama Islam; warna biru digunakan untuk pembesar kerajaan sebagai simbol golongan yang dihormati; dan warna hitam digunakan oleh pemangku atau pemuka adat serta menjadi warna yang melambangkan keberanian panglima dan hulubalang.
Pengelasan pewarna semula jadi
Pewarna semula jadi telah berkembang menjadi warna atau sumber pewarna yang digunakan oleh penenun Melayu untuk meningkatkan daya tarikan tenunan asas dalam tekstil, terutamanya kain limar, cindai, dan songket. Pewarna semula jadi bukan sahaja menarik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membezakan pelbagai tahap hierarki dalam sistem sosial Melayu. Warna dihasilkan daripada pelbagai sumber tumbuhan. Ekstrak daun daripada Nangka (Artocarpus heterophyllus) juga digunakan dalam tekstil tradisional untuk memberikan benang sutera warna coklat muda, warna merah daripada ekstrak biji kesumba (Bixa orellana), warna hijau daripada daun pandan dan kuning daripada ekstrak kunyit (Curcuma longa). Sementara itu, pewarna seperti gambir pada kain batik menghasilkan warna coklat dengan tahap intensiti yang berbeza bergantung kepada mordan yang digunakan. Kain yang dirawat dengan mordan kapur dan besi mempunyai kekuatan warna yang lebih kuat berbanding kain yang dirawat dengan tawas. Dengan menambah nilai tersendiri pada tenunan tradisional, penggunaan pewarna semula jadi dapat meningkatkan nilai ekonomi, terutamanya dalam pasaran antarabangsa. Selain itu, gentian semula jadi, terutamanya bulu dan sutera, mempunyai daya tarikan yang lebih baik dengan pewarna semula jadi dalam penyerapan warna berbanding gentian sintetik.
Pengekstrakan pewarna semula jadi daripada tumbuhan
Namun begitu, bilangan pengamal tekstil tradisional di Malaysia yang menggunakan pewarna semula jadi telah berkurangan dengan ketara disebabkan oleh proses ekstraksi warna yang merumitkan termasuklah memotong, menggiling, merendam, dan merebus adalah antara langkah asas yang diambil untuk mengekstrak pewarna daripada tumbuhan. Dalam proses pencelupan Melayu, pemilihan bahagian yang sesuai daripada bahan mentah seperti kayu dalam, kulit kayu, atau bahkan kulit buah-buahan adalah penting. Sebelum prosedur ekstraksi dimulakan, bahan yang dipilih akan dipotong, dicincang, dihiris kecil, atau dibiarkan di tempat terbuka untuk dikeringkan. Bahan-bahan yang dikumpul kemudian dicampurkan dengan mordan dan dimasak selama beberapa jam untuk membolehkan warna melekat pada fabrik. Kapur, garam, daun, dan beberapa bahan mentah lain yang mengandungi sebatian alum dan besi dianggap sebagai mordan semula jadi untuk proses mordan dan pencelupan fabrik. Oleh kerana perkembangan moden dan teknologi, proses ekstraksi dapat ditambah baik dan tempoh masa dapat dipendekkan. Antara sebatian semula jadi yang dikenal pasti adalah karotenoid, antosianin, dan betalain.
Kesimpulannya, walaupun terdapat beberapa cabaran dalam penggunaan pewarna semula jadi, terutamanya dari segi kos dan kecekapan, peluang yang ada sangat besar. Dengan meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian, memelihara warisan budaya, dan menggalakkan inovasi dalam penyelidikan, pewarna semula jadi dapat memainkan peranan penting dalam industri tekstil yang lebih mesra alam dan lestari. Penggunaan pewarna semula jadi bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar tetapi juga memelihara budaya tradisional dan memperkenalkan alternatif yang lebih mesra alam dalam industri tekstil. Dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang boleh diperbaharui, mengurangkan pencemaran dan tenaga yang digunakan dalam proses pengeluaran, serta memberi manfaat kepada biodiversiti, pewarna semula jadi berpotensi menjadi satu langkah penting ke arah pembangunan industri yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.